Sign In

Tanda perniagaan: Semua yang Awda Perlu Ketahui


Oleh Pejabat Harta Intelek Brunei Darussalam (BruIPO)


Harta intelektual merujuk kepada rekaan minda termasuk ciptaan, karya sastera dan seni; dan simbol, nama dan imej yang digunakan dalam perniagaan.


 Infographics on Trade Mark_updated 07 03 19_BM.jpg

Apakah tanda perniagaan?

• Tanda perniagaan adalah tanda yang dapat membezakan produk dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh sebuah perniagaan dari perniagaan yang lain.

• Tanda perniagaan boleh terdiri daripada perkataan (termasuk nama peribadi), logo, reka bentuk, huruf, gambar, nombor, bentuk produk, bau, rasa, bunyi, atau pembungkusan.

 

 

Kenapa awda perlu mendaftar tanda perniagaan?

• Ia memberikan perniagaan awda kelebihan daya saing dan akan membolehkan para pelanggan mengenal pasti produk awda.

• Ia memberikan perniagaan awda hak eksklusif terhadap tanda perniagaanawda dan menghalang orang lain daripada memasarkan produk yang sama atau serupa.

• Tanda perniagaan juga boleh menjadi aset perniagaan yang bernilai kerana ia juga boleh dilesenkan.

 

Bagaimanakah tatacara memohon tanda perniagaan?


  1. Mengemukakan permohonan tanda perniagaan melalui Borang TM1* berserta surat dan salinan tanda perniagaan berukuran A4 berserta dengan bayaran BND150.00 bagi setiap kelas barangan dan / atau perkhidmatan yang dipohonkan (terdapat sebanyak 45 kelas barangan dan perkhidmatan). 
  2. (*Pemohon asing dikehendaki memfailkan alamat di Negara Brunei Darussalam melalui Borang TM22 (BND6) dan disertakan bersama dengan Borang TM1)
  3. BruIPO akan mengeluarkan notis memaklumkan kepada pemohon mengenai butir-butir pemfailan dan nombor tanda perniagaan.
  4. BruIPO akan memeriksa permohonan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan di bawah undang-undang.
  5. Sebaik sahaja permohonan diterima, BruIPO akan menghantar Borang TM27 kepada pemohon dan pemohon dikehendaki untuk melengkapkan Borang tersebut dan mengembalikannya berserta yuran penerbitan yang ditetapkan iaitu BND125.00 dalam tempoh 2 bulan.
  6. Tanda perniagaan awda seterusnya akan diterbitkan di dalam Jurnal tanda perniagaan di laman sesawang BruIPO selama 3 bulan untuk bantahan oleh mana-mana pihak ketiga.
  7. Sekiranya tiada bantahan, sijil pendaftaran akan dikeluarkan kepada pemohon dan tanda perniagaan akan dilindungi selama 10 tahun.
  8. Sekiranya tanda perniagaan itu dibangkang, pemohon akan dimaklumkan dengan sewajarnya dan proses pembangkangan akan bermula.

Berapa lamakah tempoh untuk mendaftarkan tanda perniagaan?

Permohonan yang lengkap boleh didaftarkan dalam tempoh 6 bulan.

 

Bilakah perlindungan bermula?

Perlindungan tanda perniagaan yang berdaftar bermula apabila permohonan untuk pendaftarannya difailkan (Tarikh Pemfailan) dengan BruIPO.

 

Berapa lamakah perlindungan tanda perniagaan?

Perlindungan adalah selama tempoh 10 tahun dan boleh diperbaharui seterusnya selama 10 tahun dengan bayaran yuran pembaharuan berjumlah BND200.

 

Setelah didaftarkan, adakah tanda perniagaan dilindungi di seluruh dunia?

Oleh kerana perlindungan adalah terhad mengikut negeri, maka pendaftaran dengan BruIPO memberikan perlindungan di Negara Brunei Darussalam sahaja. Walau bagaimanapun, pemohon boleh memfailkan untuk mendapatkan perlindungan tanda perniagaan di peringkat antarabangsa melalui sistem antarabangsa Madrid.

Sistem Madrid adalah sistem pendaftaran dan pengurusan tanda perniagaan antarabangsa yang melibatkan 119 negara ahli dengan hanya memfailkan satu permohonan, dalam satu bahasa dan dikenakan satu set bayaran sahaja.


Bolehkah saya mengetahui sama ada tanda perniagaan yang sama atau serupa pernah didaftarkan?

Pemohon dinasihatkan untuk menjalankan carian ke atas tanda perniagaan yang sudah berdaftar sebelum mengemukakan permohonan mereka. ini adalah perlu untuk mengelakkan daripada pendaftaran tanda perniagaan ditolak. Pemohon boleh melakukan carian di meja bantuan BruIPO di Pusat Sokongan Perniagaan (BSC) yang terletak di Tingkat 1, Bangunan Design and Technology di Anggerek Desa atau melakukan carian dalam talian di laman sesawang berikut:

 

Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan BruIPO, sila layari laman sesawang BruIPO www.bruipo.gov.bn atau e-mel kepada enquiries@bruipo.gov.bn

 Tanda Perniagaan: Semua yang Awda Perlu Ketahui (Presentation Slides)