Sign In

Membina atau mengubah suai premis komersial

Jika awda merancang untuk membina atau membuat pengubahsuaian ke premis perniagaan awda, awda perlu melibatkan Orang Berkelayakan (QP), seperti arkitek berdaftar dan jurutera profesional, untuk menjalankan kerja pembinaan atau pengubahsuaian tersebut. QP akan berhubung dengan agensi-agensi yang berkaitan bagi pihak awda untuk mendapatkan kebenaran dan permit yang diperlukan.


Proses mendapatkan permit pembinaan:

 

Langkah 1: Mendapatkan Kebenaran Perancangan

 

Arkitek awda perlu menghadapkan permohonan secara online untuk mendapatkan Kebenaran Perancangan dari Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) melalui sistem e-KP, berserta dengan dokumen-dokumen yang diperlukan.

 Arkitek awda akan menerima pemberitahuan kebenaran dalam masa 14 hari dan perlu mengambil surat kebenaran dan cadangan pelan kemajuan yang disahkan di JPBD.


Langkah 2: Mendapatkan Kebenaran Kemajuan

 

Setelah Kebenaran Perancangan telah diperolehi, arkitek awda akan memohon Kebenaran Memulakan Kemajuan dari Autoriti Kawalan Bangunan Dan Industri Pembinaan (ABCi) dengan melengkapkan borang online melalui sistem OneBiz dan mengemukakan dokumen-dokumen berikut:

  • Permohonan Kebenaran Pelan Kemajuan (Borang A)
  • Salinan perjanjian antara QP dan pemilik tanah
  • Kebenaran Perancangan dari Jabatan Perancang Bandar dan Desa
  • Salinan Surat Power of Attorney (jika ada)
  • Laporan tapak

Yuran BND $ 3 setiap 100 kaki persegi (bangunan) perlu dibayar secara online atau di kaunter OneBiz di Pusat Sokongan Perniagaan (BSC), sebelum kebenaran pelan kemajuan boleh diberikan. Kebenaran akan mengambil masa kira-kira 14 hari, dan akan dimaklumkan melalui sistem OneBiz.

 

Langkah 3: Mendapatkan Kebenaran untuk Memulakan Kemajuan

 
Selepas mendapat kebenaran pelan kemajuan, dokumen-dokumen berikut perlu dikemukakan kepada ABCi secara online melalui OneBiz untuk mendapatkan kebenaran untuk memulakan kemajuan:

  • Borang Kebenaran Memulakan Kemajuan (Borang C)
  • Gambar tapak
  • Lukisan setting out/staking oleh LLS yang dilantik oleh Pemilik Tanah

Permit untuk memulakan kemajuan akan diberikan dalam masa 1 hari melalui sistem OneBiz.

 

Langkah 4: Memohon Tarikh Pemeriksaan

 

Apabila kerja-kerja kemajuan selesai dan sedia untuk diperiksa oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, QP awda akan menyerahkan Sijil Pembina untuk penyiapan kerja-kerja pembinaan atau Builder's Certificate of Completion of Building Works (BCC) melalui e-mel kepada op.abci@mod.gov.bn dan memohon tarikh pemeriksaan secara online melalui Penjadual Tempahan.

Pengesahan akan diterima daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat melalui e-mel dan / atau panggilan telefon, dalam masa 1 hari.

 

Langkah 5: Mengawal Pemeriksaan

 

Selepas tarikh pemeriksaan telah ditetapkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat akan melawat premis bersama dengan QP dan kontraktor awda untuk memeriksa kerja kemajuan dan memastikan bangunan telah dibina mengikut pelan yang telah diluluskan oleh ABCi di Langkah 2, dan mematuhi Building Guidelines and Requirements (PBD 12:2017).

 

Langkah 6: Mendapatkan Occupational Permit (OP)

 

Selepas pemeriksaan dari ABCi, awda perlu mendapatkan Occupational Permit (OP) sebelum awda boleh mendiami bangunan dan memulakan operasi perniagaan. Untuk mendapatkan OP, dokumen berikut perlu diserahkan kepada ABCi secara online melalui sistem OneBiz:

  • Permohonan Kebenaran Mendiami (Borang E)
  • Borang tanya Perangkaan Pembinaan (JPKE)
  • Foto kemajuan dari 4 sudut termasuk sistem perparitan, jalan masuk, sistem pembetungan dan lain-lain perkara yang berkaitan.

Occupational Permit akan dikeluarkan dalam masa 7 hari melalui Sistem OneBiz.


Bilakah Occupational Permit diperlukan?

 

Occupational Permit (OP) adalah keperluan di bawah Perintah Kawalan Bangunan 2014, untuk memastikan bangunan tersebut adalah selamat untuk digunakan. Perniagaan yang memerlukan OP tergantung kepada bangunan itu sendiri dan pengubahsuaian yang hendak dibuat kepadanya.

Jika perniagaan berada dalam bangunan yang mempunyai OP yang sah dan tidak membuat sebarang pengubahsuaian kepadanya, maka OP baru tidak diperlukan.

Walau bagaimanapun, jika premis perniagaan berada di dalam bangunan yang baru dibangun atau terdapatnya pengubahsuaian ke premis perniagaan tersebut, maka kemungkinan besar OP akan diperlukan.

Sekiranya awda merancang untuk memulakan perniagaan dan ingin mengetahui sama ada awda memerlukan OP atau kebenaran yang lain, awda boleh menjawab soalan-soalan
ini sebelum memulakan perniagaan awda.


Jika masih kurang pasti, awda boleh mengemukakan soalan-soalan awda kepada Orang Berkelayakan (QP), sama ada Jurutera Profesional (PE) atau Arkitek Berdaftar, atau pihak ABCi untuk mendapatkan nasihat.


Perintah Kawalan Bangunan, 2014


Proses kelulusan bangunan di Negara Brunei Darussalam adalah dikawal di bawah Perintah Kawalan Bangunan 2014 dan Peraturan Kawalan Bangunan 2014.

Fahami proses dengan lebih baik melalui soalan-soalan yang lazim ditanya mengenai kawalan bangunan di 
sini.